Isnin, 21 Februari 2011

Dah sampai masa ke?


Tarikh yang selalunya diberikan sebagai anggaran waktu nak bersalin ialah minggu yang ke 40.  Tetapi sudah namanya anggaran ianya tidak semestinya tepat.  Lagipun ianya dikira berdasarkan tarikh kali terakhir kita didatangi haid, yang kadang-kadang kita pun tak berapa pasti.

Masa mengandung anak pertama dulu, saya pun tertanya-tanya macamana rasanya sakit perut nak bersalin.  Apakah tanda-tandanya?  Memanglah banyak baca buku dan majalah tetapi yang syoknya kalau orang lain pula menceritakan pengalaman mereka.  

Berikut ialah senarai tanda-tanda nak bersalin;

1)  SAKIT PINGGANG DAN DI SEKELILING BAWAH PERUT (ARI-ARI)

Majoriti ibu-ibu yang menceritakan pengalaman mereka mengalami tanda ini.  Sakitnya ialah macam sakit senggugut waktu haid.  TAPI SAKITNYA ADALAH BERLARUTAN.

2)  PERUT SEMACAM MENGERAS

Perut mengeras ini sebenarnya ialah 'Braxton Hicks' iaitu rahim kita melakukan aktiviti pengecutan untuk persediaan apabila kita betul-betul nak bersalin nanti.  Biasanya kita akan mulai mengalaminya seawal kandungan berumur 8 bulan.  Tapi apabila ianya menjadi tanda awal bersalin, IANYA TIDAK BERHENTI TETAPI SEMAKIN KERAP.

3)  RASA NAK MUNTAH

Ada juga apabila perut sudah terlalu sakit, rasa nak muntah dah termuntah.

4)  AIR KETUBAN PECAH

Ianya ialah cecair jernih yang keluar seperti air kencing CUMA BEZANYA KITA TIDAK DAPAT MENGAWALNYA.

5)  LENDIR PUTIH

Lendir ini sebenarnya ialah penutup pintu rahim kita yang tergugur apabila pintu rahim tersebut membesar bukaannya.  Selalunya ia bercampur dengan sedikit darah.

6)  CIRIT BIRIT

Saya adalah diantara ibu yang mengalami tanda ini.  Ianya berlaku kerana tubuh badan kita tahu masanya telah tiba dan ia membuat persediaan dengan mengosongkan usus supaya bayi senang keluar nanti.

NASIHAT SAYA:  Jika anda akan pertama kali melahirkan anak dan sudah tentu tidak mengetahui jangka masa bersalin anda sama ada cepat atau lambat, sila ke hospital secepat mungkin sekiranya mengalami satu atau lebih tanda di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan